Showing posts with label Hartanah. Show all posts
Showing posts with label Hartanah. Show all posts

Tuesday, 4 February 2020

Residen vs Komersial

Konfuse mengapa JMB mengenakan caj SST dalam maintenance dan sinking fund?

Pihak pengurusan yang diuruskan pihak syarikat pengurusan bangunan tiba-tiba mengenakan caj pada Jun 2019. Bila semak semula perjanjian jual beli kondo tersebut status residen. Pihak kastam juga mengesahkan komersial sahaja dikenakan SST.

Sebagai pemilik memang tak berpuas hati, tetapi setelah rujuk semula pada peguam , Cik Rahsidah Johari memaklumkan bahawa pihak pengurusan boleh mengenakan caj SST. Ini kerana, bangunan berada dalam lot komersial.


Friday, 17 February 2017

Pembatalan Insuran Selesaikan Pinjaman Perumahan

Alangkah mudahnya urusan selesaikan pinjaman kereta berbanding pinjaman perumahan. Banyak fasa yang perlu dilalui setelah menunggu 2 bulan .

1 bulan selepas selesai pinjaman dan tandangan dokumen antara peguam Rithaudin & Azlin dengan bank. Ada 3 dokumen ditandatangan dan akan dimatikan setem. Kemudian, tunggu lagi 1 bulan untuk dapat kembali  dokumen tersebut. Kali ini aku bawa Yaqin, dia tunggu aku dalam kereta sementara aku naik ke tingkat 8 Bangunan Lee Yan Lian. Jenuh tunggu lif, setiap tingkat ada orang tekan. Rupa-rupanya bangunan ini juga ada Kolej Segi. Waktu tengahari ini ramai pelajar yang nak turun.

Kini masuk pula fasa batalkan insuran MRTA yang tamat 2027. Menurut Aziah, kawan aku yang merupakan agen insuran takaful ikhlas, urusan pembatalan perlu disegerakan. Cepat urus, cepat dapat duit pemulangan. Duit dapat juga lebih sikit berbanding lewat-lewatkan urusan.

Maklumat-maklumat yang perlu aku serahkan pada pihak takaful seperti berikut:
1- salinan ic
2- salinan surat full loan settlement 
3- isi borang pembatalan insuran
4- no. akaun bank

Mulanya aku sangka perlu serah sendiri ke pejabat takaful, Aziah nasihatkan aku emailkan saja. Borang pembatalan insuran diemailkan dalam tempoh 24jam. Maklumat yang perlu aku emailkan kembali termasuklah sertakan no. akuan bank untuk pihak takaful kreditkan bayaran pemulangan.

Aku .hubungi pihak pemaju untuk mengetahui langkah seterusnya untuk dapatkan strata. Malah, segala tunggakan dengan pihak badan pengurusan apartment juga dijelaskan segera. 

Fasa seterusnya... hubungi Sia. Boon Chee & Co untuk urusan pindah milik dan strata pula.  Untuk kurangkan fees guaman,  peguam yang sama perlu dilantik semasa aku tandangan dokumen jual beli Pangsapuri Teratai. 




Tuesday, 22 December 2015

Penyewa Tuntut Deposit

Melayan karenah penyewa yang bermacam-macam jenis dan ragam kadang-kadang memeningkan kepala.
Semalam, penyewa yang keluar pada September lalu selepas kejadian diserbu JAIS pada pukul 3 pagi hantar whatapps bertanyakan tentang depositnya 2 bulan. Oleh kerana, perjanjian sewaan adalah setahun dan tidak cukup tempoh selama setahun, deposit tersebut tidak dapat dipulangkan atau dikira hangus.

Malah, selepas 3 bulan tinggal dan selepas ditangkap khalwat, dia terus keluar dan langsung tidak berjumpa aku ketika menyerahkan kunci, Semua urusan diserahkan pada kawannya. Pada aku, sikapnya agak tidak sopan. Penyewa sepatutnya berjumpa tuan rumah sebelum keluar dan serah hak milik tuan rumah. Alasan tidak teruskan sewa adalah disebabkan tiada privasi dan keselamatan kurang memuaskan. Pengawal keselamatan membenarkan JAIS yang tiada waran boleh  mengopak pintu dan memotong kunci mangga.

Alasan tentang peranan pengawal keselamatan yang kurang memuaskan dan lif yang kerap rosak adalah tidak wajar mempersalahkan tuan rumah. Ini kerana, urusan keselamatan dan lif rosak merupakan peranan pihak penyelenggaraan bangunan yang mana di luar bidang tugas tuan rumah.

Sebenarnya, ramai yang tidak tahu tentang hak pihak berkuasa untuk memeriksa kediaman yang mencurigakan dan ada aduan. Manakala JAIS tanpa ada waran atau tanpa bersama pihak polis berhak datang memeriksa kediaman setelah menerima aduan.

Namun begitu, soal pemulangan wang deposit boleh dirunding secara berhemah. Atas budi bicara dan belas kasihan, tuan rumah rela memulangkan wang tersebut selepas ditolak segala bil-bil yang tertunggak seperti air dan eletrik, kos kerosakan, kos kehilangan barang tuan rumah serta kos agen hartanah.

Sekiranya penyewa bersikap biadap dan mengugut tuan rumah, Maka, sebagai tuan rumah berhak tidak memulangkan deposit mengikut apa yang telah dipersetujui didalam perjanjian sewaan.

Pentingnya perjanjian sewaan untuk melindungi hak penyewa dan tuan rumah. Penyewa juga tidak sewenang-wenangnya nak keluar pindah dengan memberi alasan yang tak munasabah.

Dinasihatkan  penyewa menyelidik keadaan kediaman dan premis sebelum menyewa. Malah, adalah tidak adil menyalahkan tuan rumah  sekiranya apa-apa yang berlaku yang bukan atas tanggungjawap tuan rumah.


Friday, 24 July 2015

Dilema Pengurangan atau Menyelesaikan Pinjaman Rumah Dengan Mengeluarkan KWSP

Semalam aku ke RHB bank di Jalan Klang Lama. Namun, urusan masih belum selesai untuk mendapatkan penyata pinjaman perumahan. Aku perlu ke cawangan RHB yang aku buka akaun. Lupa pula aku di mana aku buka dan di mana RHB tersebut. Pengawal keselamatan menolong aku bagaimana hendak mengetahui cawangan RHB akaun yang dibuka. Dengan menggunakan ATM kad di ATM mesin, maklumat akaun nombor dan cawangan dapat diketahui.

Hari ini aku ke RHB, SS2/24, Sungai Way. Aku berada dalam dilema sama ada aku hendak selesaikan pinjaman rumah di Kajang atau ingin mengurangkan pinjaman rumah Pantai Dalam. Kakitangan RHB memberi pilihan pada aku untuk aku buat keputusan sama ada ingin memohon penyata rumah Kajang atau Pantai Dalam. Mereka tidak boleh keluarkan  penyata baki pinjaman untuk 2 akaun sekali gus. Malah, penyata dikeluarkan selepas semingggu serta aku perlu datang ambil ke RHB SS2. Benar-benar leceh urusan RHB yang agak ketinggalan sistem teknologi.

Sampai pejabat, aku telefon KWSP tentang urusan pengeluaran akaun 1 untuk pengurangan rumah. Oleh kerana aku belum pernah keluarkan akaun 1, pembelian rumah perlu melebihi 3 tahun. Alhamdulillah, tempoh 3 tahun sudah lama berlalu. Oleh kerana jumlah baki pinjaman sedikit daripada jumlah akaun 1, aku rasa rugi pula  jika aku langsaikan pinjaman rumah Kajang. Jika aku langsaikan, rumah Kajang dianggap rumah pertama aku. Jika aku ingin keluarkan akaun 1 kelak untuk selesaikan pinjaman rumah Pantai Dalam, aku perlu tukar nama atau jual rumah Kajang.

Pihak KWSP menerangkan aku boleh membuat pemotongan bulanan untuk rumah kedua. Namun, untuk pemotongan rumah yang seteruskan tidak  layak lagi.

Sekiranya aku ingin mengurangkan pinjaman rumah Pantai Dalam, bermakna aku masih menanggung dua pinjaman perumahan aku. Apakah keputusan yang harus aku ambil???

Saturday, 25 April 2015

Lemahnya Strukur Bangunan Terbakar

Hari ini aku ke bengkel motosikal Wilson. Sudah lama tidak servis motosikal aku dan begitu lama jugalah tidak berjumpa dengan Wilson. Selain servis motosikal aku, aku beli kotak Givi. Berleter dia sebab dulu harga hanya RM120. Sekarang harga dah naik ke RM180.

Bila dah ada kotak givi dan beg sandang letak dalam kotak givi, aku rasa bawa motosikal lebih selamat. Kalau aku tahu begini perasaannya bila bawa motosikal, sudah tentu sudah lama aku beli kotak givi ini. Baru tergerak hati nak beli, aku rasa dah malas nak mengusung helmet. Bila sangkut di motosikal hati pula asyik tak tenteram. Sudah banyak kali helmet dirembat orang.

Sebelum aku balik rumah, singgah di Low Yat untuk beli monopod. Semasa hendak simpan helmet dalam kotak givi, susah pula nak mengunci kotak givi. Setelah berusaha dan gagal untuk mengunci, aku tinggalkaan helmet dalam kotak givi tanpa berkunci. Tawakkal sahajalah....inilah akibatnya terlalu yakin dan ambil mudah sesuatu perkara. Nampak mudah tetapi perlukan teknik yang betul.

Sampai di rumah, aku hubungi Wilson dan memberitahu aku tak tahu nak mengunci kotak givi, Susah benar nak faham cara nak mengunci, Akhirnya aku minta Wilson hantar video cara nak mengunci... hehehehe....

Di bengkel Wilson, macam-macam kami borakkan. Antara perkongsian adalah tentang aku yang mulai terlibat dengan rumah lelong. Aku menceritakan tentang rumah yang terbakar harga daripada RM10,000 dan harga yang dimenangi RM38,000. 

Wilson tidak menggalakkan beli rumah yang terbakar kerana rumah yang terbakar tidak kukuh dan mudah roboh. Binaan telah jadi lemah dan lembut. Dia menceritakan tentang kisah bengkel yang roboh beberapa tahun yang lalu dan menghempap pekerja dalam bengkel tersebut

Sunday, 19 April 2015

Withdrawn vs Called Off

Pertama kali berada di acara lelong di Hotel Istana semalam yang diadakan oleh Ng Chan Mao dan Auction Property. Ketika ingin daftar membida unit, rupa-rupanya unit yang akan adik aku bida telah "called off". Banyak juga yang called off. Namun, ada juga yang "withdrawn".

Bila pertama kali datang ke tempat lelongan terpinga-pinga juga apa maksud withdrawn dan called off. Adik aku Sidah bertanya pada pensyarahnya apa bezanya.
Withdrawn bermaksud bank tarik balik. Manakala Called off bermaksud dibatalkan dengan arahan bank atau perintah mahkamah

Lelongan CIMB  ini agak sengit. Masing-masing macam pentingkan diri dan tidak mahu mengalah untuk dapatkan unit lelongan.Aku dan adik-adik aku hanya tengok gelagat pembida-pembida dan kebanyakan selepas rumah lelong harga yang dibida menyamai harga sub-sale atau harga pasaran. Pada aku tidak berbaloi dan lebih baik beli sub-sale. Kadang-kadang boleh minta pemilik unit beri diskaun dan kemungkinan harga sub-sale lebih murah daripada harga yang dibida.

Wednesday, 15 April 2015

Hang-Hang Haku-Haku

Sebelum pukul 8 aku tercegat di dalam Menara Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) untuk membuat carian unit yang akan dibida beberapa hari lagi. Mula-mula aku ke kaunter membuat bayaran bil cukai. Namun, aku disuruh ke tingkat 4 bahagian carian.

Semasa aku keluar dari kaunter bahagian pembayaran terserempak dengan jiran aku. Rupa-rupanya dia kerja di tingkat 4, bahagian carian. Terserempak dengan dia ketika hendak keluar rumah waktu pagi untuk ke pejabat. Sekadar menyapa "Hai" dan dia tegur "Kakak". Itu sahaja yang kami sempat bercakap. Walaupun selang sebuah rumah, kami memang tak sempat berbual dan jarang berjumpa serta jarang melepak di luar rumah. Malah, aku juga tak tahu apa nama dia.....gulrppppp....

Untuk carian unit rumah akan datang, ini adalah peluang terbaik untuk merapatkan hubungan jiran. Dia sudi menolong aku untuk membuat carian. Untuk membuat carian, MPKJ telah mengenakan bayaran RM20 untuk satu carian. Sebelum ini, carian PERCUMA.

Mulanya aku merancang membuat 2 carian tetapi bila dikenakan bayaran RM20 aku rasa lebih baik aku buat satu carian dulu. Yang lagi satu unit belum tahu tarikh bida. Carian ini sekejap sahaja, kuirang 2 minit sudah dapat tahu jumlah cukai yang tertunggak.

Jumlah tunggakan unit ini RM1741.70. Aku anggarkan selama 7 tahun tuan rumah ini tidak membayar cukai tafsiran. Bila aku jumlahkan cukai ini dan penyelenggaraan yang tertunggak, jumlahnya sudah mencecah RM8K.

Patutkah aku membida rumah ini????
 

Tuesday, 14 April 2015

Syarat Membeli Rumah Kos Rendah di Pulau Pinang

Semalam adik aku menelefon pembida yang menang lelong sebuah rumah kos rendah. Kasihan dia, rupa-rupanya dia tidak layak membeli unit dari segi syarat kerajaan negeri Pulau Pinang. Rayuannya juga ditolak serta sanggup membayar secara tunai. 5% bank drafnya juga hangus

Antara syarat-syarat memiliki rumah kos rendah di negeri Pulau Pinang:

  1. Warganegara Malaysia
  2. Berumur 18 tahun ke atas
  3. Bermastautin  serta daftar mengundi di Pulau Pinang
  4. Pendapatan isi rumah kurang RM2,500 untuk rumah kos rendah dan RM3500 untuk kos sederhana
  5. Tidak pernah memiliki rumah (Rumah yang pernah dijual dikira tidak layak)
Pembida itu juga menasihatkan agar bank draf adalah bukan bank draf dari Islamik bank. 

Wednesday, 8 April 2015

You Evaluator Ke?

Waktu rehat terkejar-kejar keluar dari ofis untuk ke lokasi yang ingin dituju. Lebih kurang setengah jam sampai ke sana. Tengok dari luar dan kawasan lokasi agak strategik dengan kemudahan MRT yang akan siap tak lama lagi. Dekat pula dengan pusat membeli-belah serta kolej.

Semasa nak naik lif, jumpa seorang agen hartanah yang telah berpengalaman selama 20 tahun. Dia menegur aku dan sangkakan aku seorang jurunilai rumah. Aku mengiyakan dan dia terus meneka aku penilaian yang masih baru. Hahaha... aku jadi evaluator tak bertauliah pula hari ini

Tujuan kami sama, tinjau unit yang sama. Dia beritahu pada aku, unit flat ini hanya pembeli yang berpendapatan RM1500 yang layak membeli.

Masuk dalam lif, banyak tingkat lif yang rosak. Kami terpaksa ke tingkat 16. Kemudian, turun dengan tangga. Unit ini dekat dengan lif dan macam berpenghuni.Depan pintu dicelah gril terselit bil lektrik sebanyak RM13.70.

Agen hartanah itu ambil gambar kiri kanan rumah dan depan pintu. Aku dah tawar hati nak ambil gambar tetapi aku ambil juga. Sepanjang kami turun tangga kami cuba hendak guna lif tetapi gagal. Setiap tingkat lif tidak berfungsi dan di depan lif ada sampah yang bertimbun. Dia tanya aku, what you expect dengan rumah macam ini? Sudah tentu aku tak sanggup nak membida unit ini.

Sampai tingkat bawah, aku termuntah. Tak tahan dengan bau busuk di kawasan persekitarannya. Aku dah tak sanggup nak ke pejabat penyelenggaraan walaupun agen hartanah mengajak aku ke pejabat penyelenggaraan.

Monday, 6 April 2015

Pertama Kali Kaji Selidik Rumah Lelong

Semalam 3 buah rumah yang berdekatan dengan kawasan tempat tinggal sempat aku dan adik aku menjalankan kaji selidik. Mula-mula pergi naik kereta sebab jarak tempat charity sale tak jauh dengan rumah yang aku target. Lupa nak tengok bahagian belakang rumah. Kena pergi lagi untuk selesaikan tugas.
Kali ini naik motosikal untuk memudahkan pergerakan. Pemilik ketiga-tiganya rumah adalah India.

Rumah pertama sudah tidak berpenghuni dan sudah lama ditinggalkan berdasarkan rantai besi dan mangga yang mengunci pintu pagar yang sudah berkarat teruk.
Di luar ada kusyen buruk dan di dalamnya nampak almari. Pintu pun terbuka dan tidak pasti kerosakannya.
Takut pula nak panjat pagar. Rumah sendiri berani je panjat pagar.

Bila lihat depan rumah, tak perasan pun rumah itu rumah India sebab tiada gambar atau patung di gantung atas pintu. Namun, bila ditinjau di bahagian belakang rumah teres ini, ada cermin digantung atas pintu. Ini mengesahkan aku rumah ini dimiliki oleh India.

Mengikut andaian aku berdasarkan kondisi luar rumah ini, jumlah kerosakan rumah amat tinggi.Nilai bidaan tak boleh tinggi.

Rumah kedua dan ketiga ada penghuni India. Senang sahaja untuk mengecam rumah India iaitu lihat patung di atas pintu rumah.

Semasa meninjai di kawasan rumah kedua ini, terdapat banyak rumah yang ditinggalkan dan jadi hutan. Rumah kedua adalah rumah teres 2 tingkat. Ada sedikit renovation di bahagian depan rumah sebagai tempat isi barang. Hanya sekadar ambil gambar dan terus berlalu. Keputusan ke atas rumah ini adalah tidak mahu membida unit ini. Kami cuba mengelak rumah teres yang berpenghuni dan keadaan rumah-rumah sekitar yang ditinggalkan. Adakah ada sesuatu disebaliknya????

Rumah terakhir adalah apartment 5 tingkat yang tiada lif. 24 jam dikawal oleh pengawal.Komuniti ramai golongan Cina. Kebetulan semasa sampai, jiran India itu hendak keluar, sempat berborak-borak. Akhirnya, aku ambil keputusan untuk membida rumah ini kelak walaupun rumah ini berpenghuni.

Tugas seterusnya pada hari dan waktu bekerja, aku perlu ke pejabat penyelenggaraan apartment ini untuk mengetahui jumlah hutang tertunggak penyelenggaraan dan lain-lain bayaran tunggakan.

Wednesday, 1 April 2015

Langkah Permulaan Daftar Diri di Laman Web Lelong Percuma

Semalam aku daftar http://www.auctionmart.my/cpm/ . Ini sebagai langkah pertama aku untuk terlibat dalam lelong hartanah. Daftar dalam laman web ini percuma sahaja. Ada juga  laman web yang berbayar. Untuk permulaan ini biarlah dimulakan dengan yang percuma.

Pertama kali adik aku masuk lelong pada 14 Mac 2015 di Penang, dah macam ketagih nak masuk lelong lagi walaupun tak menang nak beli rumah yang kami rancang beli. Aku juga terlebih excited juga. Seronok dengar adik aku bercerita.

Harga rezab rumah yang ingin dibeli pada hari itu adalah 50K dan pembida yang menang 61K. Hanya 3 orang sahaja pembida termasuk adik aku. Adik aku target maksimum 60K sahaja dan agennya juga nasihat macam itu juga.

Apa yang adik pelajari semasa dalam sessi lelongan tersebut agar berjaya dalam lelong, kita perlu target lebih daripada satu unit rumah / komersial lot. Sekurang-kurangnya kita boleh menang 1 unit daripada beberapa lot yang dilepaskan.

Tuesday, 24 March 2015

Beli Rumah Untuk Anak

Kesedaran membeli rumah di kalangan rakan sebangsa aku, melayu agak kurang berbanding rakan Cina dan India. Hari ini Sherly menyatakan hasratnya untuk membeli rumah untuk anak-anaknya. Memandangkan harga yang amat tinggi di Lembah Klang pada masa kini, sudah tentu zaman anak-anak setelah dewasa kelak tidak mampu atau sukar memiliki rumah. Sherly juga berkata rumah yang dia beli, dia akan sewakan demi masa depan anak-anaknya.

Apa yang disuarakan olehSherly, selalu aku nasihatkan pada rakan-rakan Melayu. Aku nasihatkan agar bermula dengan beli rumah kos rendah atau flat. Aku agak kesal bila mereka sanggup hidup menyewa demi untuk tinggal rumah yang ada tanah. Mereka menunggu untuk beli rumah teres ketika mereka masih belum mampu untuk membeli rumah teres.

Anak-anak semakin hari semakin membesar, sudah tentu anak-anak berkeinginan untuk tinggal di rumah yang dimiliki ibu bapa mereka sendiri. Walaupun rumah tersebut kecil, kepuasan tinggal di rumah sendiri adalah amat seronok.

Usahlah menunggu untuk lepaskan peluang yang ada di depan mata. Makin ditunggu, makin tak dapat, akhirnya berputih mata.