Tiba-tiba pula berminat belajar ilmu seni kayu bila Angah war-warkan jawatan kosong di syarikatnya, DoctorKayu. Aku pula mulalah letak komen tanya bolehkah kerja sambilan hari Sabtu / Ahad. Bila dapat jawapan BOLEH, keluarlah bunga-bunga yang indah lagi harum. Ilmu seni kayu PERCUMA ini rugi lepas peluang. Menurut Robert Kiyosaki dalam buku Rich Dad, Poor Dad "Teruskan guna otak kamu, bekerja secara percuma. Tidak lama lagi minda kamu akan menunjukkan cara membuat wang yang lebih baik. Apabila kamu dapat melihat peluang, kamu akan dapat melihatnya sepanjang hidup"
Malah, paling membanggakan adalah tauke bengkel ini adalah perempuan. Tukang-tukang kayu yang kita lihat di Malaysia ini hanya dimonopoli lelaki sahaja. Kalau tengok di dalam TV, minah Salleh tak kurang hebatnya dengan kaum lelaki.
Oleh kerana, aku perlu selesaikan AGM dan melantik AJK baru JMB Teratai, aku putuskan untuk mulakan kelas kayu pada 5 September. Hati ini sebenarnya dah tak sabar-sabar tetapi aku kena lepaskan tanggungjawap sebelum memulakan sesuatu yang baru.
Hari pertama aku belajar untuk melicinkan permukaan kayu dengan kertas pasir yang dikenali sebagai "memelas" atau dalam bahasa Inggeris dikenali "sanding". Lain benar kertas pasir ini yang biasa aku guna yang dibeli di kedai hardware. Yang ini nak kata kertas pun bukan dan tak boleh koyak macam kertas. Agaknya sesuai bubuh nama kain pasir dan pasirnya amat halus.
Ada 50 medal larian kayu yang telah siap dipotong menggunakan laser. Kesan terbakar dari laser yang berwarna kuning perlu ditanggalkan dan permukaan kayu yang kasar perlu dilicinkan. Tak boleh ikut suka hati gosok permukaan. Hasil teknik gosokan yang betul akan menghasilkan kualiti yang cantik setelah siap yang mana warna nampak sekata dan sentuhan permukaan kayu terasa licin.
Kelak, aku akan belajar untuk menggunakan mesin pula untuk melicinkan permukaan kayu. Walau ada kemudahan teknologi, tak semua perkara sesuai menggunakan mesin sekiranya ada tulisan atau lukisan grafik di atas permukaan kayu. Kemahiran menggunakan mesin mestilah dimulai dengan kemahiran memelas menggunakan jari tangan.