Perancangan untuk ke melihat whale shark dibatalkan setelah memikirkan beberapa perkara termasuklah tiket 1000 peso atau RM76 untuk warga asing. Tiket ini agak mahal sekadar hanya naik bot ke tengah laut untuk berenang atau snorkle selama 20 minit untuk melihat ikan tersebut. Tambahan pula lynn dan sidah tidak tahu berenang. Jadi keterujaan untuk ke sana tidak menarik perhatian mereka.
Untuk memenuhi aktiviti pada hari ketiga ini kami merancang ke Pulau Sumilon dan air terjun Tumalog.
Selepas solat subuh dan bersarapan pagi dengan nasi impit yang masih ada , kami kemaskan barang untuk check out dari hotel. Pukul 7.30 pagi kami berjalan kaki ke bandar Oslob yang terletak 700 meter sahaja untuk naik bas.
Sampai di depan 7eleven, beberapa kenderaan awam yang mana motosikal beroda 3 atau dikenali 'tricycle' menawarkan perkhidmatan mereka.
Kami menolak kerana hanya akan naik bas sahaja. Aku sebenarnya takut naik kenderaan bermotosikal bila mengingati kembali peristiwa 5 tahun lalu di Hutong, Beijing. Selepas naik kenderaan beroda tiga menyebabkan kami diperas ugut sebanyak 300yuan seorang.
Namun, semasa sedang duduk di bangku seorang pemandu tricycle menawarkan 50peso seorang. Shidah cuba minta 20peso. Tak sangka pula dia setuju. Akhirnya aku akur untuk cuba naik tricycle. Dalam fikiran aku ketika itu jika naik bas aku rasa tambang 40peso juga seperti semalam dari terminal Bato ke Oslob.
Malah, semasa dalam perjalanan ke Pulau Sumilon dia bersetuju untuk memberi tambang 50peso untuk 3 orang. Disebabkan pemandu ini agak peramah dan nampak baik, kami minta dia tunggu kami untuk ke air terjun Tumalog.
|
Bot untuk ke Pulau Sumilon |
Untuk ke Pulau Sumilon , aku sangkakan 1 bot untuk 5 orang tambang yang dikenakan 1500peso. Sebaliknya, tambang untuk kami bertiga adalah 1500peso untuk perjalanan 2 hala. Setelah diterangkan yang dimaksudkan dengan 5 orang itu sebenarnya 1 hala.
|
Pulau Sumilon |
|
Pulau Sumilon |
|
Jeti Pulau Sumilon |
Sampai di jeti Sumilon Island, pelancong yang tiba perlu membayar 'entrance fee' sebanyak 50peso seorang.
Kami menyewa satu sahaja alatan snorkling sebanyak 50peso yang mana Lynn dan shidah akan berkongsi snorkling. Manakala aku akan berenang menggunakan goggle lynn.
Sementara menunggu bot sampai, shidah ambil peluang untuk belajar beberapa perkataan Tagalog dari pemandu tricyle tadi yang memperkenalkan diri sebagai Eleon. Namun, kami memanggilnya Leon sahaja.
Lebih kurang 10 minit, bot sampai. Sangkakan bot kecil, rupa rupanya besar yang boleh muat dalam 20 orang. Untuk naik ke bot, tiada jeti seperti yang digambarkan. Naik ke atas bot menggunakan sekeping papan yang dipaku papan papan kecil untuk dijadikan tangga. Sekeping buluh dipegang oleh pekerja bot untuk dijadikan pemegang ketika pelancong naik bot. Dari jauh Pulau Sumilon nampak dengan jelas dengan Pulau Cebu. Hanya 20 minit, sampai ke Pulau Sumilon.
Pulau ini dimiliki oleh Blue Water. Pengunjung hanya boleh datang dari pukul 7 pagi hingga 6 petang sahaja.
Pulaunya indah dengan pasirnya putih dan bentuk pantainya yang unik. Di kelilingi batu batu karang yang indah.
Sebaik sahaja kaki melangkah menjejaki ke Pulau ini, pemandu-pemandu pelancong yang dikatakan sekadar bayar tip ikut suka datang menawarkan diri. Walaupun sudah maklumkan untuk tidak mahu bantuan pemandu pelancong, pemandu pelancong akan tetap tak ambil peduli. Terus ikut kami walaupun kami cuba mengelak.
Akhinya, shidah dengan tegas memberitahu kami tak mahu pemandu pelancong. Kami ingin buat aktiviti bebas. Kenapa ingin terus ikut, akhirnya akan minta tip dari kami. Tipnya yang tidak ditetapkan agak bahaya kerana pemandu pelancong akan kenakan bayaran yang mahal. Lega, dia terus berlalu.
Di Cebu ini walaupun sekadar ke tempat air terjun atau pulau, masih juga ada pemandu pelancong. Tak susah pun untuk berjalan jalan sendiri. Wajar ambil pemandu pelancong jika ke tempat bersejarah agar pemandu pelancong boleh menceritakan lebih lanjut asal usul tempat tersebut. Sekadar seolah olah menjadi pengawal peribadi , lebih baik tak payah.
Di pulau ini, tiada tempat menyimpan barang. Barang yang kami bawa diletakkan di atas batu yang agak tinggi agar air tidak boleh cecah semasa air pasang. Setelah dapat goggle dari lynn, aku terus tak sabar untuk melepaskan gian untuk berenang di dalam laut.
Aku hairan kenapa lynn atau shidah masih tak snorkling. Mereka berdua seolah olah mencari sesuatu dalam air. Aku berenang ke arah mereka. Mereka tunjukkan kepada aku pin sebelah kanan masker selam tercabut dan melantun ke dalam air ketika hendak pakai.
Dengan bantuan goggle lynn, aku cuba mencari. Namun, usaha gagal. Kemungkinan sudah di bawa arus. Mencari sesuatu dengan menggunakan goggle yang berwarna biru juga agak sukar dari segi penglihatan.
Akhirnya, Lynn terpaksa menyewa snorkle yang lain. Harga sewaan 100peso yang mana 2 kali mahal dari sewaan di tanah besar. Dengan snorkle yang mahal ini, lynn pinjamkan kepada aku dan aku dapat snorkling dengan puas.
Namun, Lynn dan Shidah aku dapat rasakan kekecewaan mereka disebabkan tidak tahu berenang dan mood hilang bila alatan snorkle rosak tadi.
Harapan snorkling di pulau ini makin hilang serinya, entah macam mana boleh hilang pula masker selam yang tercabut pin tadi dari snorker. Hanya tinggal snorker sahaja yang terapung di permukaan air.
Tadi mencari pin, kali ini mencari masker selam pula. Kaki masing masing calar balar dan terluka bila terpijak batu karang yang tajam semasa mencari masker. Akhirnya, kami pasrah dan ambil keputusan untuk pulang walaupun ketika itu baru sejam kami berada di dalam pulau.
Pukul 10 pagi kami berangkat pulang ke tanah besar dengan jenis bot yang sama sebagaimana pergi.
Mood sampai di tanah besar tidak seceria sebelum pergi ke pulau. Perlu berhadapan dengan tauke snorkle. Apakah alasan yang ingin diberikan agar dia tidak kenakan ganti rugi yang tinggi?
Tauke tunjukkan isyarat mask di muka dengan menggunakan ke dua belah tangannya di dalam kedainya. Untuk mengurangkan kerisauan aku bertanya kepada rakan tauke yang berada di sebelah aku pada masa itu. "If lost, how much to pay ?"
Lynn dan Shidah memberitahu snorkle hilang di pulau selepas pin masker selam tercabut. Akhirnya selepas dipujuk oleh Shidah, tauke hanya ambil ganti rugi 40peso yang mana awalnya kenakan 50peso.
Semasa menunggu Eleon sampai, seorang pemandu habal habal yang ada di situ cuba memujuk kami guna perkhidmatannya. Kami menerangkan sudah menempah tricycle. Dia tetap memujuk. "Do you want to wait until 5pm if he is not coming?"
Lynn membalas "It i s ok. We do not pay him yet".
Aku tidak suka dengan sikap pemandu habal habal ini yang pentingkan diri sendiri. Rezeki orang lain ingin dirampasnya.
Lynn cuba menelefon Eleon, namun gagal. Akhirnya setelah beberapa kali mencuba dan meminta bantuan warga tempatan di situ untuk hubungi akhirnya Eleon berjaya dihubungi. Rupa rupanya Eleon sudah menunggu kami di luar.