Kami keluar dari Guilly Place pada pukul 7 pagi dalam hujan turun renyai renyai. Beberapa minit kemudian, bas ordinary atau bas biasa sampai. Kami duduk di depan sekali.
Oleh kerana depan aku tiada penghadang, aku tersedar dari lena bila badan aku hampir terhempap ke depan.
Perjalanan hampir 3 jam ke Cebu City. Kami sampai pada pukul 10 pagi di South Bus Terminal. Kami berjalan kaki ke USDA Dormitory Hotel lebih kurang 700 meter. Disebabkan masih awal, kami hanya meletakkan beg sahaja untuk ke tempat tempat bersejarah di sekitar Cebu City.
Fort San Pedro |
Kami berjalan ke Fort San Pedro sejauh 700meter dari hotel. Tiket masuknya sebanyak 30peso seorang.
Fort San Pedro merupakan sebuah kubu pertahanan tentera yang dibina semasa jajahan Sepanyol pada tahun 1565 oleh Miguel de Legazpi.
Di dalamnya kubu ini yang kini telah dijadikan muzium dan turut mempamerkan potret Ferdinand Magellan. Beliau amat disanjungi oleh Sepanyol kerana mengetuai ekpedisi pelayaran hingga menemui Filipina pada 1521. Malah, paling aku kagum terdapat satu potret seorang Melayu Melaka iaitu potret Enrique de Malacca atau Panglima Awang. Asalnya hanyalah seorang hamba, kemudian menjadi pembantu Ferdinand Magellan yang disayangi.
Magellan Cross |
Kami ke Magellan Cross, berbentuk kubah dan pembinaannya bersegi enam. Di dalam terdapat satu salib yang besar daripada kayu. Terletak bersebelahan dan depan pintu masuk Gereja Basílica Menor del Santo Niño. Kami sekadar intai dari luar. Keluasannya kecil sahaja. Namun, ramai orang yang berdoa di dalamnya dengan menggunakan lilin yang boleh dibeli di dalamnya.
Selepas itu kami masuk ke kawasan Gereja Basilica Del Santo Nino. Percuma sahaja masuk ke kawasan gereja. Ramai yang berdoa di luar kawasan gereja dengan memasang lilin yang berwarna merah. Suasana kemerahan ini bagaikan berada di kawasan kuil Buddha pula.
Gereja ini terkenal di Cebu dan dibina dalam tahun 1521. Pada awal pembinaannya menggunakan kayu dan daun nipah sahaja. Namun, selepas 44 tahun pembinaannya beberapa kali berlakunya kebakaran. Gereja yang sekarang ini dibina semula pada 1735. Akhirnya, pada 1965 gereja ini telah diberi nama Basilica Del Santo Nino.
Tugu Pari-Pari |
Yap Dandiego Ancestral |
Di seberang jalannya, sebuah rumah traditional Cebu yang cantik yang diperbuat daripada kayu. Ini adalah rumah Yap Dandiego Ancestral yang dibina antara tahun 1675 hingga 1700. Pemiliknya seorang saudagar cina yang kaya dikenali Don Juan Yap dan isterinya Dona Maria Florida. Pasangan ini memiliki 3 orang anak, Maria, Eleuterio dan Consolacion Yap.
Tiket masuk sebanyak 60peso seorang. Rumah ini amat unik dikunjungi. Terdapat banyak perkakasan antik yang bernilai tinggi. Rumah ini dibina 2 tingkat. Tingkat pertama dibina daripada batu karang yang dicampur dengan putih telur yang mana pembinaannya hampir sama dengan Gereja Baclayan di Bohol, Cebu. Bumbungnya pula diperbuat daripada tanah liat Tisa seberat 1 kilogram setiap keping.
Manakala tingkat atas rumah ini diperbuat daripada kayu. Kayunya terdiri daripada kayu baloyang dan tugas yang paling keras.
Aku amat kagum dengan rumah kayu yang sudah dibina lebih 300 tahun masih utuh dan tak reput dek hujan panas. Malah, kayu ini tahan tanpa varnis atau dicat.
Selepas itu, kami berjalan kaki ke Casa Gorordo Museum yang terletak 160 meter sahaja. Tiketnya agak mahal 120peso seorang. Kami hanya meninjau dari luar sahaja. Halamannya cantik dan agak moden.
Casa Gorordo Museum |
Perjalanan balik ke hotel, singgah di sebuah restoran Islam, Halal Mat'am Eatery. Kami membeli 3 bungkus nasi, terung bersalut telur goreng, sebungkus kari itik dan 1 ketul ayam goreng berkelapa. Harganya amat mengejutkan kerana sangat murah. Hanya 190peso sahaja. Aku membandingkan harga ini persamaan seorang makan di Oslob.
Juadah di Restoran Muslim Halal Mat'am Eatery |
No comments:
Post a Comment