Friday, 2 February 2018

Hari ketiga Cebu: Cuartel dan Baluarte Ruins

Selepas menikmati makan tengahari 1  pinggan nasi bersama ikan yang berharga 190peso (RM15) di sebuah kedai Pizza, kami ke Baluarte Ruin.

Lebih kurang 30 minit mengambil gambar  di kawasan runtuhan gereja lama ini yang terletak di tepi pantai. Kami kembali ke Guilly Place untuk ambil beg ke bandar Cebu  pula.

Disebabkan sudah hampir pukul 4.30 petang, aku meminta ruang kepada seorang pekerja hotel untuk bersolat sebelum meneruskan perjalanan.

Selesai solat, aku terkejut. Aku dapat tahu Lynn kehilangan wang, kad pengenalan dan lesen memandu. Aku hairan kenapa Lynn perlu bawa dokumen pengenalan tersebut. Untuk ke luar negara cukup hanya bawa passport sahaja.

Fikiran Lynn jadi tidak menentu asyik memikirkan hampir kesemua wangnya hilang lebih kurang RM600 termasuk 2000peso kami bertiga yang telah diamanahkan padanya untuk perbelanjaan sepanjang di Cebu City. Mujur wang 1000peso untuk cukai lapangan terbang telah diserahkan pada aku.

 Lynn merasakan beg kecilnya tercicir di Aguinid Fall selepas keluarkan barang dari beg kalis air di kedai menyewa barang.

Lynn cuba hubungi Eleon beberapa kali. Namun, gagal. Dia cuba dapatkan bantuan pekerja hotel untuk hubungi Eleon. Dalam fikiran aku, jika Eleon tidak dapat dihubungi juga, kami akan naik bas atau tricycle ke Aguinid Fall semula.

Akhirnya Eleon berjaya dihubungi. Terkejut aku tengok Eleon datang dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi. Mujurlah Lynn sudah biasa membonceng jenis motosikal tersebut. Tak dapat aku bayangkan, kalau aku atau Shidah yang membonceng mungkinkah melayang tubuh di udara atau terpaksa berpeluk erat ditubuh penunggang.

Sementara menunggu Lynn kembali ke hotel, aku dan Shidah berjalan jalan ke belakang hotel semula. Kami ke tepi pantai untuk menikmati pemandangan matahari jatuh serta teringat tadi tidak pergi ke Cuartel yang terletak bersebelahan Baluarte Ruins. Sebelum keluar, pesan kepada pekerja hotel agar memberitahu Lynn tentang kami ke Cuartel.
Baluarte Ruin

Cuartel yang dibina dengan batu karang


Dalam perjalanan menuju ke Cuartel, kami terserempak dengan satu upacara pengebumian. Paderi, rahib , Saudara mara serta kenalan keluarga jenazah berjalan kaki ke kawasan perkuburan dengan berjalan bermula dari gereja. Masing masing membawa lilin dan menyanyi. Aku agak upacara pengebumian seorang kanak kanak perempuan di mana kerandanya kecil dan di atasnya patung Mary.

Budaya kristian ini tidak pernah kulihat ini, aku dan Shidah tunggu saksikan hinggalah mereka berlalu jauh. Selepas selesai menyaksikan upacara membawa mayat dari jauh, aku dan Shidah ke Cuartel. Binaan cuartel agak unik. Ia tidak dibina dengan batu bata. Sebaliknya dari batu karang yang masih utuh.

Setelah menyaksikan matahari jatuh, dari jauh kami nampak Eleon datang menuju ke arah kami.

Terpancar keceriaan di wajah Eleon.
Aku bertanya "How? Ok?"
Eleon mengangguk. Aku amat gembira dan bersyukur.

Aku terus bertanya "She give you something?"
Dia mengangguk.
Aku mengucapkan ribuan terima kasih padanya dan kami berpisah dengannya untuk kembali ke Guilly Place.

Sampai di hotel, Lynn sedang menunaikan solat jamak magrib dan isyak. Setelah selesai menunaikan solat, Lynn menceritakan beg kecil yang hilang tersebut sememangnya tercicir di kedai sewaan beg kalis air itu. Ketika itu dia ternampak Jade yang sedang laju mengayuh basikal. Lynn cuba hendak memanggil tetapi Jade tidak dengar.

Semasa Lynn sampai di kedai tersebut, tauke terus balik ke rumahnya dan ambil beg lynn yang disimpan oleh adik tauke. Tauke yang mengenali Eleon yakin pemiliknya akan datang kembali mengambil. Semua dokumen termasuk wangnya tidak disentuh. Lynn amat terharu atas kejujuran tauke kedai hingga mengalir air mata. Lynn menyerahkan 1000peso kepada Eleon yang membantunya.

Aku rasa lega sangat. Aku amat terharu pada Eleon yang baik hati membantu Lynn serta kejujuran tauke kedai. Aku turut menasihati Lynn agar jangan bawa dokumen yang tidak perlu ketika ke luar negara. Duit perlu diasingkan dan hanya bawa sekadar perlu.

Disebabkan kami sudah kepenatan terutama Lynn, kami bercadang untuk bermalam sahaja di hotel ini. Shidah dan Lynn memujuk pekerja hotel untuk memberi diskaun hingga 700peso. Dia bersetuju dan memberi kami 1 bilik utama di tingkat bawah. Bilik tersebut walaupun hanya 1 katil bujang yang dikongsi aku dan Shidah. Manakala 1 tilam tambahan disediakan untuk Lynn.




No comments:

Post a Comment